SELAMAT DATANG KE GLAMOURMOON..... FAHMI & EDA

Friday, 17 June 2011

PEMBELAJARAN SEPANJANG DI DALAM PERJALANAN UMRAH

Banyak perjalanan, luas pengalaman. Begitulah ibarat kata pepatah. Sesungguhnya bukan mudah untuk mencari masa, peluang dan ruang untuk berjalan, tambahan pula dengan kehidupan sebagai seorang pelajar yang tentu sahaja ada halangan lebih-lebih lagi dari aspek kewangan. Tetapi sekiranya diberi peluang, tentu sahaja ramai yang ingin berjalan, melancong, dan pergi ke tempat-tempat baru dan menarik, apatah lagi sekiranya tempat-tempat tersebut mempunyai daya tarikan yang unik dan tersendiri.
Saya gemar mengembara, dan saya gemar pergi dan melihat kawasan-kawasan baru. Saya banyak berfikir dan mentafsir banyak perkara sepanjang perjalanan saya, kerana sesungguhnya saya percaya bahawa pengalaman ketika perjalananlah merupakan perkara yang berharga. Perkara yang berlaku sekitar perjalanan tentulah unik dan berbeza daripada perkara yang sentiasa berlaku dalam kehidupan seharian kita dan dari situlah, kita mampu mengambil pengajaran dan pengalaman sebagai ingatan untuk diri kita, juga kepada yang lain.

Kesempatan mengunjungi Makkah dan Madinah baru-baru ini sesungguhnya memberi makna yang tersendiri kepada saya. Ramai yang bertanya-tanya, boleh cerita pengalaman ketika di sana, apa perkara menarik dan sebagainya. Sesungguhnya agak sukar utk mengungkapkan dengan kata-kata dan pena segala kisah pengalaman itu, tetapi apa yang lebih bagus ialah input, pelajaran yang boleh dikutip daripada pengalaman tersebut. Di sini saya ingin berkongsi sedikt input yang telah saya pelajari dalam perjalanan untuk mengerjakan 'umra ini.


1. Manfaatkan masa muda remaja
 
Alhamdulillah, saya diberi peluang dan ruang untuk mengerjakan ibadah umrah dalam usia muda remaja. Walaupun ibadah umrah itu tidaklah sesukar menunaikan ibadah haji, tetapi saya dapat melihat sekiranya kita mengerjakan ibadah pada usia muda remaja, kita punyai tenaga yang segar, tegar dan kuat. Kita punyai azam dan semangat yang lebih tinggi dan mentaliti yang hebat. Saya menyedari ibadah seperti tawaf dan sa'ie sesungguhnya memerlukan tenaga yang lebih berbanding menunaikan ibadah solat. Saya sendiri agak 'pancit', (benar, pancit - kepenatan) ketika menjalankan ibadah sa'ie. Jauh juga sebenarnya jarak Safa dan Marwa. Jika saya sendiri yang masih muda ini sudah terasa kepenatan, apatah lagi orang-orang yang berumur dan warga tua, setentunya mereka mengambil masa untuk menjalankan ibadah ini. Di tambah lagi dengan beribu-ribu orang turut sama menjalankan ibadah tersebut, tentulah sedikit menyukarkan situasi.

Saya ingin menyeru kepada anda semua, juga kepada diri saya sendiri, sekiranya kita masih muda remaja, diberi nikmat kesihatan, tubuh badan yang sempurna, dan punyai kewangan dan kelapangan, jangan ditangguh-tangguh lagi untuk mengerjakan ibadah khususnya ibadah haji/umrah.


2. Manusia yang berbeza

Ketika di sana, saya dapat menyaksikan pelbagai jenis ragam dan gelagat orang-orang di sana. Budaya 'sapu-menyapu mengharapkan berkat' masih lagi ada dalam diri sesetengah orang daripada kita. Ketika di Madinah saya melihat budaya ini makin menjadi-jadi. Di Raudhah, tidak cukup mahu bersolat di tangga mimbar Rasulullah sallahu'alayhi wasallam yang kecil itu, malah sempat juga 'sapu meminta berkat' ketika menziarahi makam Rasulullah sallahu'alayhi wasallam. Walaupun ada pihak berkuasa yang mengawasi makam Rasulullah sallahu'alayhi wasallam daripada perkara ini, masih ada lagi yang sempat untuk menyapu tiang yang menutup makam Rasulullah sallahu'alayhi wasallam. Pelik sungguh saya melihat perkara sebegini, yalah, pemikiran masih lagi dijajah penyakit khurafat (na'udhubillah).

3. Perlunya bersabar

Bersabar merupakan intipati dalam usaha menunaikan apa jua ibadah. Jika anda tidak tahan panas, maka sila belajar untuk berada dalam keadaan panas. Jika anda tidak tahan dengan kerenah manusia, maka belajar untuk berdepan dengan kerenah manusia yang berbeza-beza. Percayalah, ibadah umrah yang semudah dan tidak seramai ibadah haji itupun sungguh memerlukan kesabaran! Bersabarlah ketika menyertai ribuan Muslimin lain dalam mengerjakan ibadah tawaf, sa'ie dan solat. Tetapi, selesainya menempuh ujian sabar itu, masha Allah, terasa begitu manis hasilnya. Terasa sungguh gembira kerana berjaya menempuhi dugaan dan cabaran dalam melaksanakan ibadah kepada Allah.

Itulah antara mutiara yang saya rasakan penting untuk sama-sama dikongsi daripada perjalanan umrah saya yang lalu. In sha Allah, moga-moga Allah memurahkan rezeki untuk menunaikan ibadah haji pula nanti.

dah baca ke,terima kasih tau sebab sudi membaca dan singgah ke blog kami

No comments:

Post a Comment